Saturday, August 18, 2007

Diabesiti - Bersarapan lewat jadi punca

ALASAN tidak boleh bersarapan di awal pagi adalah satu fenomena yang menyebabkan masalah diabetes dan obesiti (diabesiti) di kalangan masyarakat negara ini.
Diabesiti ialah gabungan masalah kencing manis dan kegemukan.
Mengapa alasan ini menjadi satu penyebab kepada masalah diabesiti di Malaysia?
Ini kerana menurut Ketua Pakar Diet, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John, apabila seseorang itu bersarapan lewat, kuantiti makanan yang diambil biasanya melebihi kadar sepatutnya.
``Biasanya penduduk negara ini tidak suka bersarapan di awal pagi, terutamanya yang bekerja di sektor kerajaan.
``Selalunya golongan ini bersarapan pada pukul 10 pagi,'' ujarnya.
Jadi menurutnya, apabila bersarapan lewat, mereka biasanya mengambil makanan dalam jumlah yang banyak kerana pada waktu itu perut terlalu lapar.
``Ada yang bersarapan seolah-olah mengambil makanan tengah hari, kemudian ditambah pula dengan teh tarik gelas besar.
``Makanan yang diambil pada waktu pagi ini sangat mempengaruhi berat badan seseorang,'' ujarnya.
Menurut Easaw-John, saiz makanan juga merupakan faktor utama mengapa diabesiti menyerang penduduk negara ini.
``Saiz makanan pada masa kini kebanyakannya disajikan dalam saiz `gergasi', ini amat berbeza dengan suatu masa dahulu.
``Jika kita perhatikan, kebanyakan kedai-kedai makan kebelakangan ini seolah berlumba-lumba mempromosi minuman gelas besar,'' ujarnya.
Pesta makanan ini katanya, hanya membantu kepada wujudnya pelbagai jenis penyakit.
Tambah Easaw-John, kesukaran mengubah diet harian turut menyebabkan masalah obesiti dan penyakit kencing menular di negara ini.
Jelasnya, apabila sudah diajar daripada kecil membiasakan diri dengan sesetengah makanan, tabiat itu sukar untuk diubah.
``Ibu bapa selalunya suka anak-anak mereka bertubuh `berisi', jadi anak-anak akan dijamu dengan hidangan ayam setiap hari.
``Amalan ini apabila sudah dibiasakan, tentu sukar untuk dihentikan kerana ia sudah menjadi makanan rutin,'' ujarnya.
Ada juga di kalangan ibu bapa yang `silap' memberi didikan kepada anak-anak mereka mengenai khasiat sesuatu makanan.
``Ramai di kalangan ibu-ibu dahulu yang tidak menggalakkan anak mereka makan ikan kerana kononnya makanan itu tidak memberi khasiat.
``Mereka akan menakut-nakutkan anak mereka dengan mengatakan jika makan ikan, cacing akan penuh dalam perut,'' katanya.
Nasihat itu sebenarnya menurut beliau, bukanlah satu amalan yang sihat kerana kanak-kanak itu dari kecil sudah disogokkan dengan ajaran yang salah.
Selain itu jelasnya, sikap rakyat negara ini yang suka berbelanja mengikut hawa nafsu terutama apabila ada jualan murah banyak mempengaruhi faktor kesihatan.
Masyarakat kita biasanya suka menyenaraikan apa yang ingin dibeli, ini satu amalan yang baik.
``Namun amalan ini biasanya terpesong apabila tiba musim jualan mega.
``Pantang ada jualan murah, semua barang hendak dibeli dan selalunya senarai keperluan tidak lagi menjadi kepentingan,'' katanya.
Menurut Easaw-John, budaya masyarakat sesetengah negeri sebenarnya mendorong kepada timbulnya masalah diabesiti.
``Masyarakat Pantai Timur sangat suka menyajikan hidangan yang manis-manis.
``Walaupun bagi mereka rasa manis akan lebih menyedapkan sesuatu makanan, tetapi tabiat ini sebenarnya tidak elok,'' katanya.
Easaw-John berkata, seolah-olah satu budaya di kalangan masyarakat di negara ini menghabiskan masa di kedai-kedai makan pada larut malam.
Menurutnya, budaya lepak di kedai makan terutamanya kedai mamak kini bukan lagi hanya untuk golongan tua, tetapi juga menjadi ikutan golongan muda.
``Biasanya golongan muda sekarang terutamanya pekerja kilang dan pelajar institusi pengajian tinggi suka bersantai di kedai-kedai mamak sehingga lewat pagi dengan alasan untuk menghilangkan tekanan.
``Teh tarik dan roti canai tentu men-
jadi menu utama, inilah yang menyebabkan timbulnya masalah diabesiti,'' katanya.
Diabesiti atau kencing manis berlaku apabila organ pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya atau insulin yang dikeluarkan itu tidak berkesan.
Ini akan menyebabkan glukosa tidak dapat masuk ke dalam sel badan, terkumpul di dalam darah yang kemudiannya menyebabkan paras glukosa meningkat ke dalam air kencing.
Obesiti pula ialah masalah berat badan atau kegemukan yang melampau kerana pertambahan lemak dalam badan.
Apabila seseorang individu mempunyai kombinasi kedua-dua masalah ini, tahap kesihatan badannya berada pada paras yang membimbangkan.
Amalan penjagaan kesihatan yang baik serta rutin senaman harian boleh membantu mengatasi masalah diabesiti.
``Sebenarnya, kita sendiri yang menentukan tahap kesihatan badan.
``Sekiranya kita rajin bersenam dan mengawal corak pemakanan, kita boleh mengelakkan diri daripada serangan penyakit,'' kata Easaw-John.

No comments: