Tuesday, February 27, 2007

Botol Plastik P.E.T Ancam Nyawa

SIKAP tidak suka membazir, termasuk menggunakan sesuatu barangan yang masih elok berulang kali bukan saja terpuji, malah perlu digalakkan.Bagaimanapun jika anda suka menggunakan botol air galian berulang kali untuk suatu jangka masa lama, hentikan segera kerana tabiat itu sebenarnya lebih banyak mengundang keburukan.
.
Ini kerana botol air galian yang dibuat dari Ployethylene Terephtalate atau lebih dikenali sebagai PET mempunyai beberapa kekurangan yang boleh membahayakan kesihatan pengguna apabila digunakan berulang kali, terutama jika terdedah kepada cuaca panas.Penggunaan PET dalam pembuatan botol minuman bermula secara meluas selepas dipatenkan pada 1973.
.
Pensyarah Kanan Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ishak Ahmad, berkata isu utama ialah sama ada bahan kimia yang digunakan boleh larut resap dalam air mineral.
.
Sebenarnya setiap plastik yang digunakan untuk pembungkusan makanan dipastikan selamat oleh pihak berkuasa seperti Food and Drug Administration (FDA) di Amerika Syarikat. Persoalannya, sejauh manakah pengeluar botol mematuhi prosedur yang ditetapkan.Bagi memperjelaskan perkara ini, beliau berkata semua bahan plastik di pasaran sekarang adalah berasaskan petroleum.
.
Dalam proses pembuatan botol air galian, katanya peringkat pertama membabitkan proses tindak balas kimia untuk menukarkan petroleum kepada bahan asas dengan penggunaan pemangkin seperti antimoni.
.
“Peringkat kedua membabitkan bahan kimia seperti Dimetil Tereftalat (DMT) dan Etilena Glikol (EG) dengan menggunakan pemangkin tertentu. Bahan campuran seperti DEHA juga ditambah kepada bahan asas untuk menghasilkan botol mengikut reka bentuk yang dikehendaki,” katanya.
.
Beliau berkata, antimoni yang boleh menyebabkan barah hanya digunakan dalam proses tindak balas kimia dan sepatutnya tidak wujud dalam botol plastik.
.
Walaupun ada dakwaan bahawa bahan kimia seperti DEHA boleh larut resap dalam air, setakat ini, katanya tidak ada fakta saintifik untuk menyokong dakwaan itu.
.
Katanya, DEHA yang digunakan dalam pembuatan botol plastik bukan kategori 1 (Di-ethyl Hydroxyl Amine), iaitu logam berat yang boleh menimbulkan masalah kesihatan, tetapi kategori 2 (Di-2-ethyl-Hexyl-Adipote) yang walaupun ada kesan sampingan, tetapi lebih rendah.
.
Dr Ishak berkata, dua faktor yang menyebabkan penggunaan botol plastik air galian secara berulang kali membahayakan kesihatan pengguna ialah perubahan sifat kimia akibat haba dan kesan penuaan.
.
“PET hanya tahan haba hingga 60 celsius dan jika lebih tinggi, botol tidak cair tetapi lembut. Bagaimanapun yang membimbangkan proses larut resap mungkin boleh berlaku. Bagaimanapun, ini juga tidak ada bukti saintifik yang kukuh,” katanya.
.
Sehubungan itu, katanya mereka yang ingin menggunakan bekas air secara berulang kali dinasihat tidak menggunakan botol plastik PET, tetapi polikarbonat yang lebih tahan haba, iaitu hingga 130 atau 140 celcius, berbanding suhu air mendidih, 100 celcius.
.
Katanya, ini bermakna air mendidih boleh terus disimpan dalam bekas plastik polikarbonat.Walaupun wujud dakwaan kewujudan bahan kimia seperti Bisfenol A (BPA) yang boleh menyebabkan barah, tetapi kehadiran BPA dalam air minuman masih tidak disokong secara saintifik.
.
Dari segi kesan penuaan, katanya botol plastik terdedah kepada perubahan sifat apabila digunakan berulang kali seperti pecah dan walaupun hanya kemek, proses larut resap juga mungkin boleh berlaku serta memudahkan pembiakan bakteria.
.
Walaupun terdapat pelbagai dakwaan mengenai bahaya penggunaan botol plastik seperti boleh berlaku proses larut resap, beliau yakin keadaan masih terkawal, tetapi pengguna perlu mengelakkan menggunakan botol berulang kali.
.
Pada masa sama, beliau mencadangkan beberapa langkah pencegahan seperti penggunaan botol plastik mengikut kegunaan seperti polikarbonat untuk menyimpan air panas dan bukan PET.Dr Ishak berkata, botol yang pada suatu ketika digunakan secara meluas, termasuk untuk botol susu bayi adalah lebih selamat, tetapi semakin tidak popular kerana berat dan mudah pecah, manakala lebih mahal kepada pengeluar botol.
.
Pilihan lain tetapi masih di peringkat kajian, katanya ialah menggunakan botol plastik menggunakan bahan asas dari bahan tumbuhan seperti kelapa sawit dan jagung, tetapi bahan campuran masih menggunakan bahan kimia.
.
JENIS PLASTIK:
1. Ployethylene Terephthalate (PET) - Bersifat lembut dan digunakan sebagai botol minuman ringan, termasuk air mineral
2. Polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) - Lebih keras. Sesuai untuk peralatan alat tulis
3. Polivinil Klorida (PVC) - Keras. Sesuai untuk salur paip
4. Polietilena Linear berketumpatan rendah (LDPE) - Lembut. Digunakan sebagai bungkusan plastik
5. Polipropilena (PP) - Keras. Digunakan sebagai peralatan alat tulis
6. Polistirena (PS) - Lembut. Bekas makanan yang kebanyakan peniaga makanan di Malaysia gunakan
7. Polimer campuran - Dibuat untuk pelbagai jenis bahan plastik
Oleh Ziauddin Sharuddin, Berita Harian